Dakwah syiah tersebar di Malaysia melalui beberapa cara antaranya:
1- Ziarah rasmi dan tidak rasmi rombongan-rombongan dari
pemimpin-pemimpin Iran ke Malaysia. Ziarah tersebut diakhiri dengan
program ceramah, keterangan berkenaan dengan akidah dan ajaran Syiah
([3]).
Rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan menziarahi Iran disamping
menghadiri program-program yang diadakan oleh Syiah di India,
Bangladesh, Australia, Thailand, dan Kuala Lumpur
([4]).
2- Melalui pelajar Malaysia yang belajar di Iran dan
mendapat biasiswa khas dari kerajaan Iran sebagaimana terdapat juga
pelajar di hantar ke Pakistan untuk mempelajari akidah dan ajaran
Syiah. Penghantaran pelajar ini bermula semenjak 20 tahun dahulu lagi.
Pada tahun 1984 seramai enam orang pelajar dari Sekolah Agama Darul
al-Falah telah dihantar menyambung pelajaran di Universiti Qum di Iran.
Selepas itu dihantar pula seramai 10 orang pelajar lelaki dan perempuan
daripada sekolah yang sama dan Sekolah Agama Darul al-’Atiq di Johor
Bahru ke Pakitan bagi mempelajari Bahasa Parsi dan ajaran Syiah di
sana. Mereka ini apabila pulang akan menjadi pendakwah Syiah dan akan
mengembangkan Syiah di Malaysia
([5]).
3- Melalui pegawai-pegawai Kedutaan Iran di Malaysia.
Mereka mengadakan ziarah ke Pusat Pengajian Tinggi dan sekolah-sekolah.
Mereka memberi hadiah-hadiah yang berupa buku, majalah Syiah kepada
perpustakaan umum, universiti, kolej, masjid, dan penerbit-penerbit buku
([6]).
Sebagaimana mereka juga menghantar beberapa rakyat Malaysia ke Mekah
untuk menunaikan haji bersama pengikut-pengikut Syiah secara percuma
dari kerajaan Iran
([7]).
4- Terdapat bantuan dan sokongan daripada golongan akademik
dan politik di Malaysia. Sesetengah pemimpin politik pro Islam
menyokong kerajaan Iran. Antara mereka ada yang menganggap tidak ada
beza antara Syiah dan Ahli Sunnah Waljama’ah kerana telah dibuang oleh
Ayatollah Khumeini
([8]).
Pegawai Diplomasi Iran ada mempelawa Almarhum Dato Fadhil Muhammad
Nor(1937-2002) bekas presiden PAS mengubati dan merawat penyakitnya di
Tehran, Iran
([9]).
Ini menunjukkan beberapa perkara, pertama: terdapat usaha dari golongan
Syiah untuk menjalinkan hubungan dengan pemimpin politik Islam di
Malaysia; kedua: kehebatan pemimpin PAS sehingga disanjung dan dipandang
tinggi oleh orang Syiah; ketiga: kemungkinan ada hubungan baik antara
Iran dan PAS di Malaysia. Walaupun begitu pada pendapat penulis
hubungan tersebut bukanlah hubungan kerjasama untuk menyebarkan Syiah di
Malaysia.
Terdapat golongan akademik yang terpengaruh dengan Syiah terdiri
daripada pensyarah universiti, kolej dan lain-lain di Malaysia. Ini
memudahkan penyebaran ajaran Syiah dalam masyarakat pelajar di Malaysia
apatahlagi kerajaan Iran memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar
Malaysia bagi melanjutkan nyambung pengajian mereka di Iran dan
Pakistan. Melalui majlis-majlis ilmu yang diadakan di universiti atau
pusat-pusat pengajian yang lain, pensyarah dan guru-guru menyebarkan
dakwah Syiah di majlis-majlis tersebut yang turut dihadiri oleh ulamak
Syiah
([10]).
Terdapat juga pensyarah yang sengaja memberi assignment dan menugaskan
pelajar mengkaji dan menyelidik tentang Syiah, membuat ringkasan
teks-teks ucapan pemimpin Syiah dan seumpamanya agar mereka dapat
mengenali Syiah dan terpengaruh dengannya.
5- Menyebarkan pamplet, buku, dan majalah Syiah kepada orang ramai seperti Majalah Fatimah dan majalah al-Quds
([11]). Buku-buku tentang Syiah juga tidak ketinggalan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu seperti buku
Nahju Al-Haq Wa Kasyfu As-Sidq
yang ditulis oleh penulis Syiah yang bernama al-Hasan Bin Yusuf
al-Mutahhar al-Hiliyy telah diterjemahkan oleh Lutfi Ibrahim ke dalam
Bahasa Melayu dan menjadi rujukan utama bagi pengikut Syiah di Malaysia
([12]).
Penulis buku tersebut terkenal dengan sifat khianat dalam meriwayatkan
hadis sebagaimana dinyatakan oleh Syah Abdul ‘Aziz Ghulam Hakim
ad-Dahlawy
([13]).
Puak Syiah Di Malaysia:
Syiah telah berpecah kepada pelbagai puak dan golongan. Puak dan kumpulan tersebut adalah seperti berikut :
Pertama: Syiah Pelampau yang dikatakan oleh setengah orang telah
pupus dan berakhir pengaruhnya di dunia Islam. Apatah lagi Syiah yang
ada sekarang tidak mengaku yang mereka asalnya daripada Syiah pelampau
tersebut.
Kedua: Syiah Ismailiyyah yang terdapat di India, Pakistan, timur dan selatan Afrika, dan di beberapa negara Arab.
Ketiga: Syiah Imamiah atau Ithna ‘Asyariah yang tersebar di Iran,
Iraq, Syria, Lubnan, Kuwait, Bahrain, negara-negara Balkan, India,
Pakistan, dan selainnya.
Keempat: Syiah Zaidiyyah yang tersebar di Yaman dan ia lebih cenderung dan hampir dengan Ahli Sunnah wa Al-Jamaah
([14]).
Setiap kumpulan Syiah yang tersebut di atas pula terbahagi dan
berpecah kepada beberapa kumpulan yang lain. Oleh itu, Syiah boleh
dianggap antara kumpulan yang paling banyak mazhab aliran dan merupakan
mazhab tertua yang wujud selepas kebangkitan Islam. Di Malaysia pula
terdapat tiga kumpulan utama Syiah :
Pertama: Syiah Ismailiyyah Bahra Atau Tayyibiah(Syiah Taiyibi Daud Bohra)([15])
Syiah ini pecahan daripada Syiah Isma’iliah. Ia dikenali juga dengan
nama Syiah Musta’liyah kerana mengiktiraf al-Musta’ly dan keturunannya
sebagai Imam mereka. Anak Musta’ly bernama al-Tayyib, jadi golongan ini
juga dinamakan Taiyibiah. Golongan ini banyak di India dan Yaman.
Mereka telah meninggalkan bidang politik dan berkecimpung dalam bidang
ekonomi(perniagaan). Orang India menamakan dan mengenali mereka sebagai
Bohrah yang bermaksud peniaga dalam bahasa India lama. Imam Tayyib
telah masuk al-Sitr(tempat persembunyian) pada tahun 525h dan
menghilangkan diri sampailah sekarang. Begitu juga keturunannya yang
merupakan Imam-imam bagi golongan Syiah Tayyibiah tersembunyi dan tidak
diketahui tentangnya sehingga nama merekapun tidak dapat diketahui
sampailah sekarang. Ulamak-ulamak mereka juga tidak tahu siapa
imam-imam mereka. Puak Syiah Bohrah ini berpecah kepada dua golongan:
1. Bohrah Sulaimaniyah yang dinisbahkan kepada pendakwah mereka
yang bernama Sulaiman Bin Hasan. Pusat bagi golongan ini ialah di Yaman
sehinggalah ke hari ini.
2. Bohrah Daudiah yang dinisbahkan kepada pendakwah mereka yang
bernama Qutub Syah Daud. Golongan ini terdapat di India dan Pakistan
semenjak kurun ke sepuluh hijrah lagi. Pendakwah-pendakwah golongan ini
menetap di Bombay. Puak atau golongan inilah tersebar di Malaysia di
kalangan pemilik kedai yang dikenali Kedai Bombay. Terdapat tanah
perkuburan dan masjid khas untuk mereka. Pusat dakwah mereka ialah di
Daerah Klang. Pengikut golongan ini dianggar lebih kurang 200 hingga
400 orang
([16]).
Kedua: Syiah Ismailiyah al-Agho Khoniyyah([17])(Syiah Ismailiyyah Agha Khan).
Syiah ini juga pecahan daripada Syiah Isma’iliah. Kumpulan Syiah ini
muncul di Iran pada awal kurun ke 19 masehi. Antara pendakwah-pendakwah
mereka ialah:
1- Hasan Ali Shah. Dia dikenali sebagai Agha Khan Pertama.
Pihak Inggeris telah menggunakannya untuk mengetuai peberontakan sebagai
satu helah bagi mereka menduduki Iran. Dia telah dibuang negeri ke
Afghanistan, kemudian dia menuju ke Bombay. Mati pada tahun 1881m.
2- Agho Ali. Dia dikenali sabagai Agha Khan Kedua. Wafat pada 1885m.
3- Muhammad al-Husainy iaitu anak Agha Khan Kedua. Dia digelar
Agha Khan Ketiga. Dia tinggal di Eropah dan tenggelam dalam dunia
hiburan dan keseronokan. Apabila wafat pada tahun 1957m, dia telah
mewasiatkan cucunya yang bernama Karim sebagai pengantinya. Ini
bercanggah dengan ajaran Ismailiyyah yang menetapkan penganti imam atau
ketua mereka hendaklah anak yang sulung.
4- Karim yang digelarkan Agha Khan Keempat. Mengantikan datuknya pada tahun 1957m. dia mendapat pendidikan di Amerika.
Kumpulan Syiah Agha Khan ini tersebar dan terdapat di Nairoby,
Darussalam, Zimbabwe, Moghadisu, Kongo, Balgiky, India, Pakistan, Syria
dan pusat utama kepimpinannya ialah di Karachi. Di Malaysia, kumpulan
ini terdapat di Lembah Klang dari kalangan pemilik kedai-kedai
Peerbhai. Pengikut kumpulan ini tidak dapat diketahui jumlahnya tetapi
mengikut pendapat ia lebih sedikit daripada kumpulan Syiah yang pertama
([18]).
Ketiga: Syiah Jaafariah atau Imamiah Ithana ‘Asyariah.
Kumpulan ini mula tersebar di Malaysia pada tahun 1979m di kalangan
tenaga pengajar di universiti-universiti di Malaysia melalui buku-buku
fahaman Syiah. Pengikut kumpulan ini telah menterjemah beberapa buah
buku fahaman Syiah ke dalam Bahasa Melayu. Bilangan pengikut kumpulan
ini di Malaysia mengikut sumber Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS)
antara 300 hingga 500 orang
([19]). Tetapi jumlahnya yang sebenar tidak dapat diketahui dengan tepat.
Kumpulan Syiah inilah yang paling masyhur di Malaysia. Oleh itu
penulis akan menulis tentang Syiah ini dan menerangkan kesesatan dan
ciri-ciri ajaran sesat batiniah yang terdapat padanya.
Sejarah Ringkas Syiah Jaafariah Atau Syiah Imamiah Ithna ‘Ayariah
Syiah Jaafariah Atau Syiah Imamiah Ithna ‘Ayariah yang terkenal dengan pangilan
Syiah
Imamiah muncul hasil dari percanggahan pendapat antara pengikut Syiah
siapakah yang layak menjadi imam mereka selepas kewafatan Imam Jaafar
As-Sodiq. Antara mereka ada yang mahu melantik anak sulung imam Jaafar
iaitu Ismail Bin Jaafar dan ada yang mahu melantik anaknya yang bernama
Musa al-Kazhim bin Jaafar kerana mengikut dakwaan mereka Imam Jaafar
telah menyatakan Musa sebagai pengantinya. Kumpulan yang melantik
Ismail sebagai imam mereka dikenali selepas itu dengan nama Syiah
Ismailiah dan kumpulan yang melantik Jaafar pula dikenali dengan Syiah
Jaafariah nisbah kepada nama Jaafar.
Kumpulan Syiah ini dinamakan Imamiah mengikut pendapat Imam
al-’Asy’ari kerana pegangan dan dakwaan mereka Imam Ali bin Abi Tolib di
lantik oleh Rasulullah sebagai iman penganti selepas kewafatan baginda
dengan cara ‘nas’
([20]).
Mengikut pendapat lain mereka dikenali sebagai Syiah Imamiah Ithna
‘Ayariah kerana pegangan mereka wajib terdapat imam di setiap zaman dan
ke semua imam-imam tersebut seramai dua belas orang mestilah dari
keturunan Imam Ali Bin Abi Tolib
([21]). Mereka ialah :
1- Abu Hasan Ali bin Abi Tolib(23sblm hijrah-40h) yang digelar al-Murtadha.
2- Abu Muhammad Hasan bin Ali(2-50h) yang digelarkan az-Zaky.
3- Abu Abdullah Husein bin Ali (3-61h) yang digelarkan Sayyid as-Syuhada’.
4- Abu Muhammad Ali bin Husein(38-95h) yang digelarkan Zainal Abidin.
5- Abu Jaafar Muhammad bin Ali(57-114h) yang digelarkan al-Baqir.
6- Abu Abdullah Jaafar bin Muhammad(83-148h) yang digelar as-Sodiq.
7- Abu Ibrahim Musa bin Jaafar(128-183h) yang digelar al-Kazhim.
8- Abu Hasan Ali bin Musa(148-203h) yang digelarkan ar-Redha.
9- Abu Jaafar Muhammad bin Ali(195-220h) yang digelar al-Jawwad.
10-Abu Hasan Ali bin Muhammad(212-254h) yang digelar al-Hady.
11-Abu Muhammad al-Hasan bin Ali(232-260h) yang dikenali sebagai al-’Askary
12-Abu al-Qasim Muhammad bin al-Hasan(256h-) yang digelar al-Mahdy yang merupakan Imam yang ke dua belas
([22]).
Pengikut Syiah Imamiah berpegang bahawa Imam mereka yang terakhir
iaitu al-Mahdy telah masuk ke dalam sardaba/bilik bawah tanah dalam
rumah ayahnya dan terus ghaib sampailah sekarang. Mereka bercanggah
tentang umur al-Mahdy semasa beliau ghaib. Ada yang berpendapat umurnya
pada masa tersebut ialah empat tahun dan ada yang berpendapat lapan
tahun
([23]).
..................................................................................................................................................
[3]) Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan,
Himpunan Ajaran, Amalan, Dan Fahaman Yang Telah Diwartakan Menyeleweng Dan Sesat Dalam Negeri Selangor Sepanjang Abad Dua Puluh, op. cit, ms 132.
([4]) Tuan Hj Che Mat Che Min, “Gerakan Syiah Dan
Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam Koleksi Kertas Kerja Seminar Aqidah
MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei
Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculannya, Bahayanya, Pemulihannya, Op.cit., ms 101.
([5]) Tuan Hj Che Mat Che Min, “Gerakan Syiah Dan
Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam Koleksi Kertas Kerja Seminar Aqidah
MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei
Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculannya, Bahayanya, Pemulihannya, Op.cit., ms 98.
([6]) Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, Himpunan Ajaran, Amalan, Dan Fahaman Yang Telah Diwartakan Menyeleweng Dan Sesat Dalam Negeri Selangor Sepanjang Abad Dua Puluh, op. cit, ms 132.
([7]) Tuan Hj Che Mat Che Min, “Gerakan Syiah Dan
Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam Koleksi Kertas Kerja Seminar Aqidah
MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei
Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculannya, Bahayanya, Pemulihannya, Op.cit., ms 98-102.
([8]) Tuan Hj Che Mat Che Min, “Gerakan Syiah Dan
Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam Koleksi Kertas Kerja Seminar Aqidah
MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei
Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculannya, Bahayanya, Pemulihannya, Op.cit., ms 98-102.
([9]) Subky Abd Latif, Fadhil Noor: Dia Guru…Dia Kawan, Kuala Lumpur, Penerbitan al-Azim SDN BHD, ctk 1, 2003, ms 30.
([10]) Tuan Hj Che Mat Che Min, “Gerakan Syiah Dan
Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam Koleksi Kertas Kerja Seminar Aqidah
MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei
Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculannya, Bahayanya, Pemulihannya, Op.cit., ms 98-102.
([11]) Tuan Hj Che Mat Che Min, “Gerakan Syiah Dan
Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam Koleksi Kertas Kerja Seminar Aqidah
MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei
Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculannya, Bahayanya, Pemulihannya, Op.cit., ms 101-102.
([12]) Buku tersebut dalam Bahasa Melayu bertajuk Minhaj Kebenaran Dan Pendedahan, oleh Al-Hasan Bin Yusuf al-Mutahhar al-Hiliyy, terjemahan: Lutpi Ibrahim. 1993.
([13]) Syah Abdul ‘Aziz Ghulam Hakim ad-Dahlawy, Mukhtasor At-Tuhfati Al-Ithnai ‘Asyariah, op.cit., ms 167.
([14]) Mahmud Salim Ubaidaat, Tarikh al-Firaq wa ‘Aqaidiha, op. cit., ms 42.
([15]) Sila lihat : An-Nadwah Al-’Alamiah Li Asy-Syabab Al-Islamy, al-Mausu’ah al-Muyassarah fi al-Adyaan wa al-Mazahib al-Mu’asirah, Riadh, al-Mamlakah al-’Arabiyah as-Sa’udiyyah, ctk 2, 1409h/1989m, ms 48
([16]) Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, Himpunan Ajaran, Amalan, Dan Fahaman Yang Telah Diwartakan Menyeleweng Dan Sesat Dalam Negeri Selangor Sepanjang Abad Dua Puluh, op. cit, ms 132.
([17]) Sila lihat : An-Nadwah Al-’Alamiah Li asy-Syabab al-Islamy, al-Mausu’ah al-Muyassarah fi al-Adyaan wa al-Mazahib al-Mu’asirah, Riadh, al-Mamlakah al-’Arabiyah as-Sa’udiyyah, ctk 2, 1409h/1989m, ms 51.
([18]) Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, Himpunan Ajaran, Amalan, Dan Fahaman Yang Telah Diwartakan Menyeleweng Dan Sesat Dalam Negeri Selangor Sepanjang Abad Dua Puluh, op. cit, ms 132.
([19]) Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, Himpunan Ajaran, Amalan, Dan Fahaman Yang Telah Diwartakan Menyeleweng Dan Sesat Dalam Negeri Selangor Sepanjang Abad Dua Puluh, op. cit, ms 132.
([20]) Abi al-Hasan Ali bin Ismail al-’Asy’ary(w330h), Maqolaat al-Islamiyyiin Wa Ikhtilaf al-Musolliin, tahkik: Mohammad Mahyudin bin Abdul Hamid, Maktabah al-’Asriyyah, t.ctk, 1411h/1990m, juz 1, ms 89.
([21]) Abdul Rahman bin Muhammad bin Khaldun(732-808h), Muqaddimah Ibni Khaldun, op. cit., ms 151.
([22]) Muhammad Redha al-Muzhaffar, Aqoid al-Imamiyyah, Beirut, Muassasah al-Imam al-Husein, ctk 10, 1417h/1997m, ms 70.
([23]) Muhammad Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, Qoherah, Darul al-Fikr al-’Araby, t. ctk., 1996m, ms 48.