Friday, 11 January 2013

ASAL USUL SYIAH 3



ASAL USUL SYIAH 3

Apa yang menarik perhatian, suara-suara mengajak keluar dari pemerintahan ‘Abbasiyyin telah tersebar begitu meluas di wilayah Parsi (Iran sekarang). Kebanyakan penduduk di daerah ini telah sekian tahun mengalami kekeciwaan kerana kejatuhan kerajaan dan raja negara Parsi yang agung. Ia telah jatuh ke tangan umat Islam dan telah menjadi sebahagian daripada empayarnya. Mereka beranggapan bahawa bangsa mereka lebih tinggi keturunannya, lebih mulia darah dagingnya, lebih mendalam tunjang sejarahnya daripada kaum muslimin. Kerana itu, muncul pula sebuah gerakan yang dinamakan asy-Syu’ubiyyah, iaitu dinisbahkan kepada suatu bangsa tertentu, bukan kepada Islam. Sebahagian mereka menzahirkan kecintaan yang berakar umbi kepada Parsi dengan segala elemen yang ada padanya termasuk api yang menjadi sembahan mereka.

Mereka sedar bahawa secara bersendirian mereka tidak akan mampu menjatuhkan kerajaan Islam, dan mereka sendiri telah menjadi muslim sejak bebarapa dekad yang lalu. Maka mereka melihat pemberontakan yang dilakukan oleh Talibiyyin sebagai satu peluang bagi memenuhi hasrat mereka. Mereka akan bergabung dengan Talibiyyin untuk menggulingkan khilafah islamiyyah yang telah menjatuhkan negara mereka sebelum ini. Pada masa yang sama mereka tidak akan meninggalkan agama Islam yang mereka telah anuti bertahun-tahun lamanya, tetapi mereka akan menyelewengkannya dengan mencampur adukkan saki baki tradisi negara Parsi yang lalu. Mereka akan menyuntik ke dalamnya apa-apa yang boleh menjamin berterusannya suasana tidak stabil di kalangan umat Islam. Mereka tidak akan memainkan peranan sebagai pucuk pimpinan, sebaliknya mereka akan berselindung di sebalik Talibiyyin yang bernasabkan Ali bin Abi Talib yang merupakan sebahagian dari Ahli Bait Rasulullah s.a.w. Ahli Bait memang mendapat tempat di hati orang ramai. Dengan cara itu dakwah mereka akan berterusan.

Demikianlah bersatunya gerakan Syu’ubiyyin Parsi dengan puak Talibiyyin dari kalangan Ahli Bait. Kesatuan ini membentuk suatu susuk yang baru yang berkembang menjadi sebuah organisasi yang berdiri sendiri, bukan sahaja bercorak politik semata-mata, malah bercorak keagamaan juga.



ASAL USUL SYIAH 2


ASAL USUL SYIAH 2

Perlu disebutkan bahawa di sana terdapat satu golongan dari pengikut Zaid bin Ali yang bertanya pendapatnya mengenai Abu Bakar dan Umar. Maka dia mendoakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas mereka berdua. Para pengikutnya yang bertanya tadi tidak dapat menerima pendiriannya. Mereka enggan memohon rahmat ke atas Abu Bakar dan Umar. Lalu mereka memisahkan diri dari menjadi pengikut Zaid. Golongan ini dikenali sebagai ar-rafidhah (orang yang menolak) kerana mereka menolak kepimpinan Abu Bakar dan Umar dan menolak pendapat Zaid tentang kepimpinan kedua-dua tokoh besar itu. Dan dari golongan inilah yang menjadi pengasas Mazhab al-Ithna ‘Asyariyyah, iaitu Mazhab Syi’ah yang terbesar.
Muhammad al-Baqir, saudara kepada Zaid bin Ali yang meninggal dunia sebelum Zaid selama lapan tahun, iaitu pada tahun 114H telah meninggalkan sseorang anak yang alim dan hebat, iaitu Jaafar as-Sadiq. Dia merupakan salah seorang ulamak yang berpengaruh, seorang faqih yang sangat pintar. Semua pandangannya adalah selari dengan akidah sahabat, tabi’in dan seluruh ulamak muslimin.

Di akhir pemerintahan Bani Umayyah, gerakan ‘Abbasiyyah bangkit dengan cergas. Gerakan ini berusaha mengumpul manusia untuk melakukan rampasan kuasa dari khalifah Bani Umayyah. Gerakan ini menjalinkan kerjasama dengan golongan yang berpecah dari Zaid bin Ali. Akhirnya khalifah Bani Umayyah digulingkan pada tahun 132H dan terbangunlah khilafah al-‘Abbasiyyah dengan dipimpin oleh Abi al-‘Abbas as-Saffah, kemudian Abi Jaafar al-Mansur. Golongan yang berpecah dari Zaid yang telah bekerjasama menjatuhkan khilafah Umayyah berasa keciwa kerana mereka mahukan kepimpinan dipegang oleh salah seorang dari kalangan cucu cicit Ali bin Abi Talib. Maka mereka bangkit semula untuk menggulingkan khilafah ‘Abbasiyyah dengan membentuk satu jamaah yang dikenali sebagai Talibiyyin (nisbah kepada Ali bin Abi Talib) sebagai saingan kepada puak yang dinisbahkan kepada al-‘Abbas bin Abdul Muttalib.

Sampai ke saat ini tidak terdapat sebarang perbezaan dari segi akidah dan fiqah kecuali dalam isu Abu Bakar dan Umar. Golongan ini, iaitu yang terpisah dari Zaid bin Ali menolak mereka berdua (Abu Bakar dan Umar), malah secara terang-terangan melaknat mereka berdua.
Tahun 148H Jaafar as-Sadiq meninggal dunia. Beliau meninggalkan seorang putera bernama Musa al-Kazim. Musa al-Kazim juga seorang yang alim, tetapi tidak sampai ke taraf ayahnya. Beliau meninggal dunia pada tahun 183H dengan meninggalkan beberapa orang anak. Antara mereka adalah Ali bin Musa ar-Ridha.

Khalifah al-‘Abbasiyyah yang terkenal, iaitu al-Ma’mun mahu mententeramkan fitnah at-Talibiyyin yang menuntut jawatan ketua untuk cucu cicit Ali bin Abi Talib. Beliau melantik Ali bin Musa ar-Ridha sebagai putera mahkota. Perlantikan ini telah mengundang bantahan yang meluas di kalangan ‘Abbasiyyin. Tetapi Ali ar-Ridha tiba-tiba mati secara mengejut. At-Talibiyyun menuduh al-Ma’mun telah membunuhnya. Maka sekali lagi timbul pemberontakan demi pemberontakan ke atas al-‘Abbasiyyin sebagaimana mereka telah lakukan ke atas Umawiyyin.

Tahun demi tahun berlalu. Akar umbi pemberontakan secara relatifnya kelihatan tenang. Dan sehingga waktu ini belum kelihatan suatu aliran keagamaan yang berlainan yang dinamakan mazhab syi’ah. Yang ada hanyalah gerakan politik yang bertujuan untuk mendapatkan kuasa pemerintahan dan menentang pemerintah sedia ada kerana beberapa sebab. Namun tidak ada satupun di antara sebab-sebab yang banyak itu sebab berkaitan dengan akidah yang menjadi pegangan mazhab syi’ah sekarang.

Saturday, 5 January 2013

ASAL USUL SYIAH 1

ASAL USUL SYIAH 1

Kebanyakan ahli sejarah berbeza pendapat tentang permulaan Syi’ah yang sebenarnya. Yang diketahui umum, Syi’ah adalah puak yang mendokong Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. dalam pertelingkahannya dengan Mu’awiah bin Abi Sufyan r.a.

Namun tidak bermakna pengikut Ali itu syi’ah dan pengikut Mu’awiah itu Sunnah. Tiada seorangpun yang bersetuju dengan kenyataan ini. Malah, semua ahli sunnah yakin bahawa dalam perselisihan yang berlaku antara dua sahabat besar itu, kebenaran berada di pihak Ali. Dan Mu’awiah, beliau telah berijtihad. Namun ijtihadnya tidak menepati kebenaran. Jelas bahawa fikrah ahli sunnah adalah memihak kepada Ali. Begitu juga prinsip-prinsip akidah dan fikrah yang dipegang oleh syi’ah bukan daripada fikrah dan prinsip akidah Ali bin Talib sama sekali. Justeru kita tidak boleh berkata bahawa syi’ah bermula pada zaman ini.

Terdapat ahli sejarah yang berkata bahawa permulaan syi’ah adalah selepas syahidnya Husain bin Ali r.a.
Pendapat ini memang berasas. Husain telah keluar dari pemerintahan (tidak mengiktiraf kekhalifahan) Yazid bin Mu’awiah. Beliau berangkat menuju ke Iraq apabila beliau dipanggil oleh sebahagian penduduknya dan berjanji akan membantunya. Namun di saat-saat akhir, mereka telah memungkiri janji. Itulah yang menjadi punca syahidnya Husain.

Setelah Husain syahid, sebahagian mereka yang mengajaknya keluar telah menyesal. Mereka bertekad untuk menghapus dosa-dosa mereka dengan mengisytiharkan diri keluar dari pemerintahan Bani Umayyah. Pertempuran pun berlaku, sebahagian mereka terbunuh. Mereka inilah dikenali sebagai syi’ah. Lantaran itulah kita lihat hubungan mereka dengan Husain lebih rapat berbanding hubungan mereka dengan Ali sendiri. Pada hari ini, kita semua lihat mereka mengadakan upacara memperingati kesyahidan Husain, tetapi tidak ada sebarang upacara memperingati kesyahidan Ali.

Sungguhpun begitu, kelahiran golongan ini tidak lain hanyalah suatu gerakan politik menentang pemerintahan Bani Umayyah. Mereka tidak mempunyai prinsip-prinsip akidah atau mazhab fiqhiyyah yang berlawanan dengan ahli sunnah. Bahkan kita dapati para pemimpin angkatan pertama yang didakwa oleh orang-orang syi’ah sebagai imam-imam mereka adalah pendokong-pendokong sunnah. Semua tutur kata mereka adalah berlandaskan akidah sunnah dan prinsip-prinsipnya.
Keadaan pemberontakan boleh dikatakan reda seketika selepas beberapa bulan syahidnya Husain. Tidak lama kemudian muncul Ali Zainal Abidin bin Husain bin Ali r.a. Beliau merupakan antara manusia terpilih, ulamak yang zuhud. Tidak terdapat langsung kesan-kesan atau tanda-tanda perbezaan akidah dan fikrah yang dibawanya dengan apa yang dipegang oleh para sahabat dan tabi’in.
Terdapat di kalangan anak-anak Zainal Abidin dua tokoh yang sangat hebat dan sangat tinggi darjah kewarakan dan ketaqwaan mereka. Mereka adalah Muhammad al-Baqir dan Zaid. Fikrah mereka berdua juga sama sepenuhnya dengan ulamak sunnah dari kalangan sahabat dan tabi’in. kalau pun ada perbezaan hanyalah pendapat Zaid yang melihat Ali bin Talib lebih utama menjadi khalifah daripada Abu Bakar as-Siddiq. Pendapat ini, meskiupun bercanggah dengan ijmak dan bercanggah dengan hadis-hadis yang tidak terhitung banyaknya mengenai kelebihan Abu Bakar, Umar dan Uthman, namun ia bukanlah perselisihan dari segi akidah. Zaid mengiktiraf kelebihan tiga khalifah terdahulu, tetapi dia berpendapat Ali lebih afdhal. Dia juga berpendapat harus melantik khalifah di kalangan mereka yang kurang afdhal. Dengan itu beliau tidak menafikan kepimpinan (imamah/kekhalifahan) Abu Bakar, Umar dan Uthman. Dalam nuktah yang lain daripada ini, beliau selari dengan ahli sunnah; akidah, fekah dan prinsip-prinsipnya.

Zaid meneruskan tradisi datuknya dalam menentang khilafah bani Umayyah. Penentangan beliau telah berlaku di zaman pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik dan telah berakhir dengan beliau mati terbunuh pada tahun 122 H.

Selepas kematiannya pengikut-pengikutnya mengasaskan mazhab yang terbina di atas fikrahnya dikenali sebagai Zaidiyyah, iaitu nisbah kepada namanya Zaid bin Ali. Mazhab ini, sekalipun tersenarai di dalam mazhab syi’ah tetapi ia selari dengan ahli sunnah dalam semua aspek kecuali dalam bab mengatakan Ali lebih utama daripada tiga khalifah ar-rasyidin sebelumnya. Pengikut mazhab ini bertaburan di Yaman. Mereka adalah puak syi’ah yang paling dekat dengan sunnah. Boleh dikatakan hampir tiada perbezaan dalam kebanyakan perkara.


Friday, 4 January 2013

DARI MANA MUNCULNYA SYIAH

Terdapat dua pendapat jelas tentang terhasilnya aliran Syiah.[4] Pendapat pertama mengatakan ketika berlakunya Perang Siffin di antara Ali RA dan Muawiyah RA. Pandangan ini secara tidak langsung mengatakan bahawa pengikut Ali RA beraliran Syiah manakala pengikut Muawiyah pula Sunnah wal Jamaah. Namun demikian ia bukanlah begitu. Ijtihad yang dinyatakan oleh Muawiyah didapati tidak benar dan pendapat Ahli Sunnah jelas lebih cenderung kepada Ali RA.
Pendapat kedua pula mengatakan kemunculan Syiah setelah kematian Husain bin Ali RA.[4] Ketika beliau keluar daripada pemerintahan Yazid bin Muawiyah atas panggilan penduduk Iraq yang akan menyokongnya di sana nanti. Namun, mereka mengkhianati beliau dan menyebabkan beliau terbunuh di Karbala.
Akibat daripada pembunuhan itu, muncul sekolompok muslim menuntut agar pembunuhan tersebut dituntut bela. Ada pula sekolompok yang lain menghukum kelompok ini kafir kerana sudah terkeluar dari pemerintahan Bani Umayyah. Lalu berlakulah pergaduhan dan menyebabkan beberapa orang daripada kalangan penyokong Husain terbunuh dan mereka digelar sebagai Syiah.
Ini secara tidak langsung menjelaskan hubungan kuat antara Syiah dan Husain RA berbanding Ali RA sendiri. Hari kematian Husain disambut oleh para pengikut Syiah dan tidak pula hari kematian Ali.
Akibat dari peristiwa itu, wujud golongan yang menentang pemerintahan Umayyah dari segi politik sahaja, sedangkan akidah, dan mazhab fiqh mereka masih tidak bertentangan dengan Ahli Sunnah. Mereka adalah pemimpin awal Syiah yang masih bermazhab Sunni.

APAKAH SYIAH??

Syiah (شيعة Syi'aṯ) ialah salah satu mazhab terbesar dalam Islam selepas Sunni. Muslim Syi'ah mengikuti Islam berbeza dengan apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad dan Ahlul Bait-nya kerana menolak hadis yang berlawanan dengan kepercayaan mereka. [1] Syi'ah menolak kepemimpinan dari tiga Khalifah Sunni pertama malah sebahagian mereka menghina para Khulafa'Ar-Rasyidin yang merupakan sahabat Rasulullah S.A.W ini [2]seperti juga Sunni menolak Imam Syi'ah. Bentuk tunggal dari Syi'ah adalah Shī`ī (Bahasa Arab: شيعي.) menunjuk kepada pengikut dari Ahlul Bait dan Imam Ali. Tetapi Ali bin Abi Talib dan para Ahlul Bait sendiri telah menolak kepercayaan Syi'ah dan menyatakan mereka sebagai kafir [perlu rujukan] .Kebanyakan Sunni Islam mengatakan bahawa Mahzab Syiah merupakan satu kefahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam kerana fahaman ini mendakwa bahawa Ali iaitu sepupu Rasulullah sepatutnya menjadi khalifah selepas kewafatan Baginda, dan bukannya Abu Bakar.