ASAL
USUL SYIAH 1
Kebanyakan ahli sejarah berbeza pendapat tentang permulaan Syi’ah yang
sebenarnya. Yang diketahui umum, Syi’ah adalah puak yang mendokong Sayyidina
Ali bin Abi Talib r.a. dalam pertelingkahannya dengan Mu’awiah bin Abi Sufyan
r.a.
Namun tidak bermakna pengikut Ali itu syi’ah dan pengikut Mu’awiah itu Sunnah.
Tiada seorangpun yang bersetuju dengan kenyataan ini. Malah, semua ahli sunnah
yakin bahawa dalam perselisihan yang berlaku antara dua sahabat besar itu,
kebenaran berada di pihak Ali. Dan Mu’awiah, beliau telah berijtihad. Namun
ijtihadnya tidak menepati kebenaran. Jelas bahawa fikrah ahli sunnah adalah
memihak kepada Ali. Begitu juga prinsip-prinsip akidah dan fikrah yang dipegang
oleh syi’ah bukan daripada fikrah dan prinsip akidah Ali bin Talib sama sekali.
Justeru kita tidak boleh berkata bahawa syi’ah bermula pada zaman ini.
Terdapat ahli sejarah yang berkata bahawa permulaan syi’ah adalah selepas
syahidnya Husain bin Ali r.a.
Pendapat ini memang berasas. Husain telah keluar dari pemerintahan (tidak
mengiktiraf kekhalifahan) Yazid bin Mu’awiah. Beliau berangkat menuju ke Iraq
apabila beliau dipanggil oleh sebahagian penduduknya dan berjanji akan
membantunya. Namun di saat-saat akhir, mereka telah memungkiri janji. Itulah yang
menjadi punca syahidnya Husain.
Setelah Husain syahid, sebahagian mereka yang mengajaknya keluar telah
menyesal. Mereka bertekad untuk menghapus dosa-dosa mereka dengan
mengisytiharkan diri keluar dari pemerintahan Bani Umayyah. Pertempuran pun
berlaku, sebahagian mereka terbunuh. Mereka inilah dikenali sebagai syi’ah.
Lantaran itulah kita lihat hubungan mereka dengan Husain lebih rapat berbanding
hubungan mereka dengan Ali sendiri. Pada hari ini, kita semua lihat mereka
mengadakan upacara memperingati kesyahidan Husain, tetapi tidak ada sebarang
upacara memperingati kesyahidan Ali.
Sungguhpun begitu, kelahiran golongan ini tidak lain hanyalah suatu gerakan
politik menentang pemerintahan Bani Umayyah. Mereka tidak mempunyai
prinsip-prinsip akidah atau mazhab fiqhiyyah yang berlawanan dengan ahli
sunnah. Bahkan kita dapati para pemimpin angkatan pertama yang didakwa oleh
orang-orang syi’ah sebagai imam-imam mereka adalah pendokong-pendokong sunnah.
Semua tutur kata mereka adalah berlandaskan akidah sunnah dan
prinsip-prinsipnya.
Keadaan pemberontakan boleh dikatakan reda seketika selepas beberapa bulan
syahidnya Husain. Tidak lama kemudian muncul Ali Zainal Abidin bin Husain bin
Ali r.a. Beliau merupakan antara manusia terpilih, ulamak yang zuhud. Tidak terdapat
langsung kesan-kesan atau tanda-tanda perbezaan akidah dan fikrah yang
dibawanya dengan apa yang dipegang oleh para sahabat dan tabi’in.
Terdapat di kalangan anak-anak Zainal Abidin dua tokoh yang sangat hebat dan
sangat tinggi darjah kewarakan dan ketaqwaan mereka. Mereka adalah Muhammad
al-Baqir dan Zaid. Fikrah mereka berdua juga sama sepenuhnya dengan ulamak
sunnah dari kalangan sahabat dan tabi’in. kalau pun ada perbezaan hanyalah
pendapat Zaid yang melihat Ali bin Talib lebih utama menjadi khalifah daripada
Abu Bakar as-Siddiq. Pendapat ini, meskiupun bercanggah dengan ijmak dan
bercanggah dengan hadis-hadis yang tidak terhitung banyaknya mengenai kelebihan
Abu Bakar, Umar dan Uthman, namun ia bukanlah perselisihan dari segi akidah.
Zaid mengiktiraf kelebihan tiga khalifah terdahulu, tetapi dia berpendapat Ali
lebih afdhal. Dia juga berpendapat harus melantik khalifah di kalangan mereka
yang kurang afdhal. Dengan itu beliau tidak menafikan kepimpinan
(imamah/kekhalifahan) Abu Bakar, Umar dan Uthman. Dalam nuktah yang lain
daripada ini, beliau selari dengan ahli sunnah; akidah, fekah dan
prinsip-prinsipnya.
Zaid meneruskan tradisi datuknya dalam menentang khilafah bani Umayyah.
Penentangan beliau telah berlaku di zaman pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik
dan telah berakhir dengan beliau mati terbunuh pada tahun 122 H.
Selepas kematiannya pengikut-pengikutnya mengasaskan mazhab yang terbina di
atas fikrahnya dikenali sebagai Zaidiyyah, iaitu nisbah kepada namanya Zaid bin
Ali. Mazhab ini, sekalipun tersenarai di dalam mazhab syi’ah tetapi ia selari
dengan ahli sunnah dalam semua aspek kecuali dalam bab mengatakan Ali lebih
utama daripada tiga khalifah ar-rasyidin sebelumnya. Pengikut mazhab ini
bertaburan di Yaman. Mereka adalah puak syi’ah yang paling dekat dengan sunnah.
Boleh dikatakan hampir tiada perbezaan dalam kebanyakan perkara.
No comments:
Post a Comment