Sunday, 10 February 2013

MAJLIS FATWA KEBANGSAAN

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 May 1996 telah membincangkan Syiah Di Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Bersetuju supaya keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang telah diadakan pada 24 dan 25 September 1984 [Kertas Bil. 2/8/84, Perkara 4.2. (2)] mengenai aliran Syiah yang menetapkan seperti berikut :” Setelah berbincang dan menimbang kertas kerja ini Jawatankuasa telah mengambil keputusan bahawa hanya Mazhab Syiah dari golongan Al – Zaidiyah dan Jaafariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia.” Dimansuhkan.
     
  2. Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.
     
  3. Menyokong dan menerima cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri – Negeri bagi memperuntukkan dengan nyata bahawa agama bagi Persekutuan dan Negeri – Negeri hendaklah agama Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.
     
  4. Memperuntukkan pindaan kepada semua Undang – Undang Negeri dan Hukum Syarak bagi menyelaraskan takrif hukum Syarak atas Undang- Undang Islam seperti berikut :” Hukum Syarak atau Undang – Undang Islam ertinya Undang – Undang Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlaq. ”
     
  5. Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan Hukum Syarak dan Undang – Undang Islam dan demikian penyebaran apa –apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang.
     
  6. Menetapkan bahawa semua umat Islam di negara ini adalah tertakluk kepada undang – undang Islam Hukum Syarak yang berasaskan pegangan kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja.
     
  7. Menetapkan bahawa penerbitan , penyiaran dan penyebaran apa- apa buku, risalah , filem , video dan lain – lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.

Cara Tersebar Dakwah Syiah Di Malaysia

Dakwah syiah tersebar di Malaysia melalui beberapa cara antaranya:
1-           Ziarah rasmi dan tidak rasmi rombongan-rombongan dari pemimpin-pemimpin Iran ke Malaysia.  Ziarah tersebut diakhiri dengan program ceramah, keterangan berkenaan dengan akidah dan ajaran Syiah([3]).  Rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan menziarahi Iran disamping menghadiri program-program yang diadakan oleh Syiah di India, Bangladesh, Australia, Thailand, dan Kuala Lumpur([4]).
2-           Melalui pelajar Malaysia yang belajar di Iran dan mendapat biasiswa khas dari kerajaan Iran sebagaimana terdapat juga pelajar di hantar ke Pakistan untuk mempelajari akidah dan ajaran Syiah.  Penghantaran pelajar ini bermula semenjak 20 tahun dahulu lagi.  Pada tahun 1984 seramai enam orang pelajar dari Sekolah Agama Darul al-Falah telah dihantar menyambung pelajaran di Universiti Qum di Iran.  Selepas itu dihantar pula seramai 10 orang pelajar lelaki dan perempuan daripada sekolah yang sama dan Sekolah Agama Darul al-’Atiq di Johor Bahru ke Pakitan bagi mempelajari Bahasa Parsi dan ajaran Syiah di sana.  Mereka ini apabila pulang akan menjadi pendakwah Syiah dan akan mengembangkan Syiah di Malaysia([5]).
3-           Melalui pegawai-pegawai Kedutaan Iran di Malaysia.  Mereka mengadakan ziarah ke Pusat Pengajian Tinggi dan sekolah-sekolah.  Mereka memberi hadiah-hadiah yang berupa buku, majalah Syiah kepada perpustakaan umum, universiti, kolej, masjid, dan penerbit-penerbit buku([6]).  Sebagaimana mereka juga menghantar beberapa rakyat Malaysia ke Mekah untuk menunaikan haji bersama pengikut-pengikut Syiah secara percuma dari kerajaan Iran([7]).
4-           Terdapat bantuan dan sokongan daripada golongan akademik dan politik di Malaysia.  Sesetengah pemimpin politik pro Islam menyokong kerajaan Iran.  Antara mereka ada yang menganggap tidak ada beza antara Syiah dan Ahli Sunnah Waljama’ah kerana telah dibuang oleh Ayatollah Khumeini([8]).  Pegawai Diplomasi Iran ada mempelawa Almarhum Dato Fadhil Muhammad Nor(1937-2002) bekas presiden PAS mengubati dan merawat penyakitnya di Tehran, Iran([9]).  Ini menunjukkan beberapa perkara, pertama: terdapat usaha dari golongan Syiah untuk menjalinkan hubungan dengan pemimpin politik Islam di Malaysia; kedua: kehebatan pemimpin PAS sehingga disanjung dan dipandang tinggi oleh orang Syiah; ketiga: kemungkinan ada hubungan baik antara Iran dan PAS di Malaysia.  Walaupun begitu pada pendapat penulis hubungan tersebut bukanlah hubungan kerjasama untuk menyebarkan Syiah di Malaysia.
Terdapat golongan akademik yang terpengaruh dengan Syiah terdiri daripada pensyarah universiti, kolej dan lain-lain di Malaysia.  Ini memudahkan penyebaran ajaran Syiah dalam masyarakat pelajar di Malaysia apatahlagi kerajaan Iran memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar Malaysia bagi melanjutkan nyambung pengajian mereka di Iran dan Pakistan.  Melalui majlis-majlis ilmu yang diadakan di universiti atau pusat-pusat pengajian yang lain, pensyarah dan guru-guru menyebarkan dakwah Syiah di majlis-majlis tersebut yang turut dihadiri oleh ulamak Syiah([10]).  Terdapat juga pensyarah yang sengaja memberi assignment dan menugaskan pelajar mengkaji dan menyelidik tentang Syiah, membuat ringkasan teks-teks ucapan pemimpin Syiah dan seumpamanya agar mereka dapat mengenali Syiah dan terpengaruh dengannya.
5-           Menyebarkan pamplet, buku, dan majalah Syiah kepada orang ramai seperti Majalah Fatimah dan majalah al-Quds([11]).   Buku-buku tentang Syiah juga tidak ketinggalan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu seperti buku Nahju Al-Haq Wa Kasyfu As-Sidq yang ditulis oleh penulis Syiah yang bernama al-Hasan Bin Yusuf al-Mutahhar al-Hiliyy telah diterjemahkan oleh Lutfi Ibrahim ke dalam Bahasa Melayu dan menjadi rujukan utama bagi pengikut Syiah di Malaysia([12]).  Penulis buku tersebut terkenal dengan sifat khianat dalam meriwayatkan hadis sebagaimana dinyatakan oleh Syah Abdul ‘Aziz Ghulam Hakim ad-Dahlawy([13]).
Puak Syiah Di Malaysia:
Syiah telah berpecah kepada pelbagai puak dan golongan.   Puak dan kumpulan tersebut adalah seperti berikut :
Pertama: Syiah Pelampau yang dikatakan oleh setengah orang telah pupus dan berakhir pengaruhnya di dunia Islam.  Apatah lagi Syiah yang ada sekarang tidak mengaku yang mereka asalnya daripada Syiah pelampau tersebut.
Kedua: Syiah Ismailiyyah yang terdapat di India, Pakistan, timur dan selatan Afrika, dan di beberapa negara Arab.
Ketiga: Syiah Imamiah atau Ithna ‘Asyariah yang tersebar di Iran, Iraq, Syria, Lubnan, Kuwait, Bahrain, negara-negara Balkan, India, Pakistan, dan selainnya.
Keempat: Syiah Zaidiyyah yang tersebar di Yaman dan ia lebih cenderung dan hampir dengan Ahli Sunnah wa Al-Jamaah ([14]).
Setiap kumpulan Syiah yang tersebut di atas pula terbahagi dan berpecah kepada beberapa kumpulan yang lain.  Oleh itu, Syiah boleh dianggap antara kumpulan yang paling banyak mazhab aliran dan merupakan mazhab tertua yang wujud selepas kebangkitan Islam.  Di Malaysia pula terdapat tiga kumpulan utama Syiah :
Pertama: Syiah Ismailiyyah Bahra Atau Tayyibiah(Syiah Taiyibi Daud Bohra)([15])
Syiah ini pecahan daripada Syiah Isma’iliah.  Ia dikenali juga dengan nama Syiah Musta’liyah kerana mengiktiraf al-Musta’ly dan keturunannya sebagai Imam mereka.  Anak Musta’ly bernama al-Tayyib, jadi golongan ini juga dinamakan Taiyibiah.  Golongan ini banyak di India dan Yaman.  Mereka telah meninggalkan bidang politik dan berkecimpung dalam bidang ekonomi(perniagaan).  Orang India menamakan dan mengenali mereka sebagai Bohrah yang bermaksud peniaga dalam bahasa India lama.  Imam Tayyib telah masuk al-Sitr(tempat persembunyian) pada tahun 525h dan menghilangkan diri sampailah sekarang.  Begitu juga keturunannya yang merupakan Imam-imam bagi golongan Syiah Tayyibiah tersembunyi dan tidak diketahui tentangnya sehingga nama merekapun tidak dapat diketahui sampailah sekarang.  Ulamak-ulamak mereka juga tidak tahu siapa imam-imam mereka. Puak Syiah Bohrah ini berpecah kepada dua golongan:
1.    Bohrah Sulaimaniyah yang dinisbahkan kepada pendakwah mereka yang bernama Sulaiman Bin Hasan.  Pusat bagi golongan ini ialah di Yaman sehinggalah ke hari ini.
2.    Bohrah Daudiah yang dinisbahkan kepada pendakwah mereka yang bernama Qutub Syah Daud.  Golongan ini terdapat di India dan Pakistan semenjak kurun ke sepuluh hijrah lagi.  Pendakwah-pendakwah golongan ini menetap di Bombay.  Puak atau golongan inilah tersebar di Malaysia di kalangan pemilik kedai yang dikenali Kedai Bombay.  Terdapat tanah perkuburan dan masjid khas untuk mereka.  Pusat dakwah mereka ialah di Daerah Klang.  Pengikut golongan ini dianggar lebih kurang 200 hingga 400 orang([16]).
Kedua: Syiah Ismailiyah al-Agho Khoniyyah([17])(Syiah Ismailiyyah Agha Khan).
Syiah ini juga pecahan daripada Syiah Isma’iliah. Kumpulan Syiah ini muncul di Iran pada awal kurun ke 19 masehi.  Antara pendakwah-pendakwah mereka ialah:
1-      Hasan Ali Shah.  Dia dikenali sebagai Agha Khan Pertama.  Pihak Inggeris telah menggunakannya untuk mengetuai peberontakan sebagai satu helah bagi mereka menduduki Iran.  Dia telah dibuang negeri ke Afghanistan, kemudian dia menuju ke Bombay. Mati pada tahun 1881m.
2-      Agho Ali.  Dia dikenali sabagai Agha Khan Kedua.  Wafat pada 1885m.
3-      Muhammad al-Husainy iaitu anak Agha Khan Kedua.  Dia digelar Agha Khan Ketiga.  Dia tinggal di Eropah dan tenggelam dalam dunia hiburan dan keseronokan.  Apabila wafat pada tahun 1957m, dia telah mewasiatkan cucunya yang bernama Karim sebagai pengantinya.  Ini bercanggah dengan ajaran Ismailiyyah yang menetapkan penganti imam atau ketua mereka hendaklah anak yang sulung.
4-      Karim yang digelarkan Agha Khan Keempat.  Mengantikan datuknya pada tahun 1957m.  dia mendapat pendidikan di Amerika.
Kumpulan Syiah Agha Khan ini tersebar dan terdapat di Nairoby, Darussalam, Zimbabwe, Moghadisu, Kongo, Balgiky, India, Pakistan, Syria dan pusat utama kepimpinannya ialah di Karachi.  Di Malaysia, kumpulan ini terdapat di Lembah Klang dari kalangan pemilik kedai-kedai Peerbhai.  Pengikut kumpulan ini tidak dapat diketahui jumlahnya tetapi mengikut pendapat ia  lebih sedikit daripada kumpulan Syiah yang pertama([18]).
Ketiga: Syiah Jaafariah atau Imamiah Ithana ‘Asyariah.
Kumpulan ini mula tersebar di Malaysia pada tahun 1979m di kalangan tenaga pengajar di universiti-universiti di Malaysia melalui buku-buku fahaman Syiah.  Pengikut kumpulan ini telah menterjemah beberapa buah buku fahaman Syiah ke dalam Bahasa Melayu.  Bilangan pengikut kumpulan ini di Malaysia mengikut sumber Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) antara 300 hingga 500 orang([19]).  Tetapi jumlahnya yang sebenar tidak dapat diketahui dengan tepat.
Kumpulan Syiah inilah yang paling masyhur di Malaysia.  Oleh itu penulis akan menulis tentang Syiah ini dan menerangkan kesesatan dan ciri-ciri ajaran sesat batiniah yang terdapat padanya.
Sejarah Ringkas Syiah Jaafariah Atau Syiah Imamiah Ithna ‘Ayariah
Syiah Jaafariah Atau Syiah Imamiah Ithna ‘Ayariah yang terkenal dengan pangilan Syiah Imamiah muncul hasil dari percanggahan pendapat antara pengikut Syiah siapakah yang layak menjadi imam mereka selepas kewafatan Imam Jaafar As-Sodiq.  Antara mereka ada yang mahu melantik anak sulung imam Jaafar iaitu Ismail Bin Jaafar dan ada yang mahu melantik anaknya yang bernama Musa al-Kazhim bin Jaafar kerana mengikut dakwaan mereka Imam Jaafar telah menyatakan Musa sebagai pengantinya.  Kumpulan yang melantik Ismail sebagai imam mereka dikenali selepas itu dengan nama Syiah Ismailiah dan kumpulan yang melantik Jaafar pula dikenali dengan Syiah Jaafariah nisbah kepada nama Jaafar.
Kumpulan Syiah ini dinamakan Imamiah mengikut pendapat Imam al-’Asy’ari kerana pegangan dan dakwaan mereka Imam Ali bin Abi Tolib di lantik oleh Rasulullah sebagai iman penganti selepas kewafatan baginda dengan cara ‘nas’([20]).  Mengikut pendapat lain mereka dikenali sebagai Syiah Imamiah Ithna ‘Ayariah kerana pegangan mereka wajib terdapat imam di setiap zaman dan ke semua imam-imam tersebut seramai dua belas orang mestilah dari keturunan Imam Ali Bin Abi Tolib([21]).  Mereka ialah :
1-   Abu Hasan Ali bin Abi Tolib(23sblm hijrah-40h) yang digelar al-Murtadha.
2-   Abu Muhammad Hasan bin Ali(2-50h) yang digelarkan az-Zaky.
3-   Abu Abdullah Husein bin Ali (3-61h) yang digelarkan Sayyid as-Syuhada’.
4-   Abu Muhammad Ali bin Husein(38-95h) yang digelarkan Zainal Abidin.
5-   Abu Jaafar Muhammad bin Ali(57-114h) yang digelarkan al-Baqir.
6-   Abu Abdullah Jaafar bin Muhammad(83-148h) yang digelar as-Sodiq.
7-   Abu Ibrahim Musa bin Jaafar(128-183h) yang digelar al-Kazhim.
8-   Abu Hasan Ali bin Musa(148-203h) yang digelarkan ar-Redha.
9-   Abu Jaafar Muhammad bin Ali(195-220h) yang digelar al-Jawwad.
10-Abu Hasan Ali bin Muhammad(212-254h) yang digelar al-Hady.
11-Abu Muhammad al-Hasan bin Ali(232-260h) yang dikenali sebagai al-’Askary
12-Abu al-Qasim Muhammad bin al-Hasan(256h-) yang digelar al-Mahdy yang merupakan Imam yang ke dua belas([22]).
Pengikut Syiah Imamiah berpegang bahawa Imam mereka yang terakhir iaitu al-Mahdy telah masuk ke dalam sardaba/bilik bawah tanah dalam rumah ayahnya dan terus ghaib sampailah sekarang. Mereka bercanggah tentang umur al-Mahdy semasa beliau ghaib. Ada yang berpendapat umurnya pada masa tersebut ialah empat tahun dan ada yang berpendapat lapan tahun([23]).





..................................................................................................................................................
 [3]) Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, Himpunan Ajaran, Amalan, Dan Fahaman Yang Telah Diwartakan Menyeleweng Dan Sesat Dalam Negeri Selangor Sepanjang Abad Dua Puluh, op. cit, ms 132.
([4]) Tuan Hj Che Mat Che Min, “Gerakan Syiah Dan Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam Koleksi Kertas Kerja Seminar Aqidah MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculannya, Bahayanya, Pemulihannya, Op.cit., ms 101.
([5]) Tuan Hj Che Mat Che Min, “Gerakan Syiah Dan Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam Koleksi Kertas Kerja Seminar Aqidah MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculannya, Bahayanya, Pemulihannya, Op.cit., ms 98.
([6]) Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, Himpunan Ajaran, Amalan, Dan Fahaman Yang Telah Diwartakan Menyeleweng Dan Sesat Dalam Negeri Selangor Sepanjang Abad Dua Puluh, op. cit, ms 132.
([7]) Tuan Hj Che Mat Che Min, “Gerakan Syiah Dan Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam Koleksi Kertas Kerja Seminar Aqidah MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculannya, Bahayanya, Pemulihannya, Op.cit., ms 98-102.
([8]) Tuan Hj Che Mat Che Min, “Gerakan Syiah Dan Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam Koleksi Kertas Kerja Seminar Aqidah MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculannya, Bahayanya, Pemulihannya, Op.cit., ms 98-102.
([9]) Subky Abd Latif, Fadhil Noor: Dia Guru…Dia Kawan, Kuala Lumpur, Penerbitan al-Azim SDN BHD, ctk 1, 2003, ms 30.
([10]) Tuan Hj Che Mat Che Min, “Gerakan Syiah Dan Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam Koleksi Kertas Kerja Seminar Aqidah MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculannya, Bahayanya, Pemulihannya, Op.cit., ms 98-102.
([11]) Tuan Hj Che Mat Che Min, “Gerakan Syiah Dan Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam Koleksi Kertas Kerja Seminar Aqidah MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculannya, Bahayanya, Pemulihannya, Op.cit., ms 101-102.
([12]) Buku tersebut dalam Bahasa Melayu bertajuk Minhaj Kebenaran Dan Pendedahan, oleh Al-Hasan Bin Yusuf al-Mutahhar al-Hiliyy, terjemahan: Lutpi Ibrahim. 1993.
([13]) Syah Abdul ‘Aziz Ghulam Hakim ad-Dahlawy, Mukhtasor At-Tuhfati Al-Ithnai ‘Asyariah, op.cit., ms 167.
([14]) Mahmud Salim Ubaidaat, Tarikh al-Firaq wa ‘Aqaidiha, op. cit., ms 42.
([15]) Sila lihat : An-Nadwah Al-’Alamiah Li Asy-Syabab Al-Islamy, al-Mausu’ah al-Muyassarah fi al-Adyaan wa al-Mazahib al-Mu’asirah, Riadh, al-Mamlakah al-’Arabiyah as-Sa’udiyyah, ctk 2, 1409h/1989m, ms 48
([16]) Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, Himpunan Ajaran, Amalan, Dan Fahaman Yang Telah Diwartakan Menyeleweng Dan Sesat Dalam Negeri Selangor Sepanjang Abad Dua Puluh, op. cit, ms 132.
([17]) Sila lihat : An-Nadwah Al-’Alamiah Li asy-Syabab al-Islamy, al-Mausu’ah al-Muyassarah fi al-Adyaan wa al-Mazahib al-Mu’asirah, Riadh, al-Mamlakah al-’Arabiyah as-Sa’udiyyah, ctk 2, 1409h/1989m, ms 51.
([18]) Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, Himpunan Ajaran, Amalan, Dan Fahaman Yang Telah Diwartakan Menyeleweng Dan Sesat Dalam Negeri Selangor Sepanjang Abad Dua Puluh, op. cit, ms 132.
([19]) Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, Himpunan Ajaran, Amalan, Dan Fahaman Yang Telah Diwartakan Menyeleweng Dan Sesat Dalam Negeri Selangor Sepanjang Abad Dua Puluh, op. cit, ms 132.
([20]) Abi al-Hasan Ali bin Ismail al-’Asy’ary(w330h), Maqolaat al-Islamiyyiin Wa Ikhtilaf al-Musolliin, tahkik: Mohammad Mahyudin bin Abdul Hamid, Maktabah al-’Asriyyah, t.ctk, 1411h/1990m, juz 1, ms 89.
([21]) Abdul Rahman bin Muhammad bin Khaldun(732-808h), Muqaddimah Ibni Khaldun, op. cit., ms 151.
([22]) Muhammad Redha al-Muzhaffar, Aqoid al-Imamiyyah, Beirut, Muassasah al-Imam al-Husein, ctk 10, 1417h/1997m, ms 70.
([23]) Muhammad Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, Qoherah, Darul al-Fikr al-’Araby, t. ctk., 1996m, ms 48.

Syiah Di Malaysia

Syiah telah lama bertapak di Tanah Melayu bahkan ada yang berpendapat Kerajaan Islam awal iaitu Perlak dan Pasai terpengaruh dengan Syiah.  Di Malaysia, pengaruh Syiah semakin kuat selepas kejayaan revolusi Iran yang pelopori oleh Ayatullah al-Khumainy pada tahun 1989m dan terbentuknya Kerajaan Islam Syiah Iran.  Atas asas kerajaan Islam, rakyat Malaysia telah memberi banyak kerjasama dan pertolongan kepada kerajaan Islam Syiah Iran tanpa melihat pada usaha mereka untuk menyebarkan akidah Syiah di Malaysia([1]).  Kedatangan orang-orang Pakistan dan India yang bermazhab Syiah ke Malaysia juga banyak membantu penyebaran Syiah di Malaysia.
Syiah tersebar di Malaysia dengan cepat kerana beberapa faktor([2]):
1)      Orang Malayu Islam sangat cinta dan kasih pada keluarga Nabi Muhammad sollallahu’alaihiwasallam.  Di atas asas sayang dan cinta tersebut mereka mudah menerima dakwah Syiah yang melampau dalam membesarkan dan mengagongkan keluarga Rasulullah sollallahu’alaihiwasallam.
2)      Hukum fekah Syiah yang longgar dan mudah.  Setengah orang terpengaruh dengan hukum fekah Syiah yang lebih mudah mengikut pendapat mereka berbanding hukum fekah mazhab-mazhab lain seperti boleh jama’(himpun) solat lima waktu dalam satu waktu sahaja.  Mereka juga merasa kagum dengan keharusan nikah mut’ah dalam mazhab Syiah.
3)      Kesungguhan pendakwah-pendakwah Syiah di Malaysia.  Mereka mengedarkan risalah, majalah dan bahan-bahan edaran lain untuk menyebarkan fahaman mereka.




..................................................................................................................................
 [1]) Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, Himpunan Ajaran, Amalan, Dan Fahaman Yang Telah Diwartakan Menyeleweng Dan Sesat Dalam Negeri Selangor Sepanjang Abad Dua Puluh, op. cit, ms 131.
([2]) Tuan Che Mat bin Che min, “Gerakan Syiah Dan Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam koleksi Kertas Kerja Seminar Akidah MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negeri Brunei Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculan, Bahayanya, Pemulihannya, Brunei, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negeri Brunei Darussalam, ctk 1, 1994, ms 99-101.

Bahaya Syiah dan Ancamannya Terhadap Akidah Umat Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Syiah ialah satu mazhab yang mendakwa Saidina Ali k.wj sebagai pengganti Nabi Muhammad SAW yang sah dan lebih utama daripada para sahabat lain. Golonga Syiah merendah-rendahkan kedudukan para sahabat Nabi SAW  serta mengkafirkan mereka terutamanya tiga khalifah al-Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar r.a, Saidina Umar r.a. dan Saidina Uthmanr r.a.
Ringkasnya, Syiah memperkatakan sesuatu yang tidak layak serta merendahkan kedudukan khulafa al-Rasyidin, para sahabat dan sebahagian isteri-isteri Nabi SAW. Inilah perkara pokok yang membezakan golongan Syiah daripada golongan-golongan Islam yang lain terutamanya Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Ulama terkenal, Syeikh Sa’id Hawwa dalam sebuah risalahnya berkaitan Syiah menyenaraikan beberapa penyelewengan mereka. 
Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Syiah percaya bahawa para imam mereka adalah maksum sehingga mengatasi Nabi dan bebas daripada dosa atau tidak berdosa. Menurut Syiah lagi, para Imam Syiah bebas daripada kesalahan, ghaflah (lalai) dan lupa sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja serta kedudukan imam itu mengatasi kedudukan kenabian.
Perkara ini menurut ulama Syiah adalah ijmak atau kesepakatan golongan terdahulu dan terkemudian Syiah. Oleh kerana itu para imam Syiah mempunyai kuasa mutlak dan hak serta pemilihan dalam menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.
Kedua : Syiah percaya bahawa al-Quran yang wujud di tangan kaum muslimin pada hari ini telah mengalami perubahan. Perkara ini diakui oleh ulama mereka seperti al-Kulaini dan Muhammad Baqir al-Majlisi dalam karangan mereka. Syiah mendakwa mereka memiliki al-Quran yang disebut sebagai “Mashaf Fatimah” dan ianya tiga kali ganda banyaknya daripada al-Quran yang kita miliki.
Lihatlah bagaimana orang Syiah menganggap bahwa Al Quran yang ada di tengah-tengah kita belum sempurna. Dan lihatlah bagaimana Syiah berdusta atas nama Saidina Ali k.wj. Mereka menyatakan bahawa hanya Ali bin Abi Talib yang boleh mengumpulkan Al Quran.

Secara langsung orang Syiah telah membantah firman Allah Ta’ala,
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya : “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redai Islam itu jadi agama bagimu.” (Surah Al Maidah ayat 3). Ayat ini menunjukkan bahawa Islam telah sempurna, begitu pula Al Quran.
Ketiga : Syiah tidak mengiktiraf hadis-hadis Nabi SAW  yang diriwayatkan oleh kebanyakan para sahabat seperti Abu Hurairah r.a, Samrah bin Jundub r.a,  Amr bin al-Ass r.a. dan sebagainya. Syiah juga menolak hadis-hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Saidatina Aisyah r.ha. 
Menurut Syiah, umat Islam telah kufur selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW  kecuali tiga atau empat orang sahabat iaitu al-Miqdad bin al-Aswad r.a, Abu Dzar al-Ghifari r.a. dan Salman al-Farisi r.a. kerana mereka tidak berpegang dan tidak mempercayai hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat bahkan meletakkan hadis-hadis tersebut dalam kelompok hadis-hadis palsu. Syiah hanya menerima hadis-hadis yang diriwayatkan oleh ahli al- bait atau kerabat Nabi SAW  sahaja.
Sahabat yang dihormati,
Dr. Musa al-Musawi, seorang yang dibesarkan dalam sebuah keluarga terhormat di kalangan masyarakat Syiah menulis sebuah buku mengajak para penganut fahaman Syiah pada hari ini untuk kembali memperbetulkan kepercayaan yang telah diselewengkan dan menyalahi pegangan Islam yang sebenar. Tegasnya, kebanyakan kepercayaan dan pengamalan Syiah pada hari ini adalah rekaan atau perkara yang diada-adakan oleh ulama serta pemimpin Syiah. Antara perkara yang ditegaskan oleh beliau ialah:
Pertama : Penganut fahaman Syiah mengamalkan taqiyyah atau berpura-pura. Ianya bermaksud melaksanakan sesuatu yang bersalahan dan berlainan daripada kepercayaan. Sebagai contoh penganut fahaman Syiah membawa batu atau tanah Karbala dan sujud di atasnya ketika solat di masjid penganut Syiah dan menyembunyikan batu tersebut ketika solat di masjid-masjid bukan penganut Syiah. 
(Dalam Islam berpura-pura adalah sifat munafik yang dilarang keras oleh Allah SWT.)
Kedua : Penganut fahaman Syiah mengadakan upacara perkabungan ke atas kematian Saidina Husain pada Hari Asyura, 10 Muharram dengan berdukacita meratap dan menangis kesedihan, memalu (memukul) serta menyeksa tubuh badan dengan rantai besi, benda tajam atau sebagainya. 
(Amalan ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam kerana amalan menyeksa diri adalah haram dan berdosa.)
Ketiga : Penganut fahaman Syiah mengamalkan Mutaah yang bermaksud kahwin kontrak atau sementara. Iaitu berkahwin  dengan seorang perempuan atau lebih tanpa saksi dan tanggungjawab nafkah dalam tempoh beberapa jam, semalaman, seharian atau lebih. Mereka berpendapat bahawa kahwin Mutaah adalah diharuskan dengan syarat wanita itu tidak bernikah atau bermutaah dengan sesiapa. 
(Dalam hadis riwayat Muslim jelas nikah Mutaah telah di batalkan oleh Allah SWT sedangkan Syiah masih mengamalkan dan mengharuskannya pula.)
Keempat : Penganut fahaman Syiah sujud di atas batu atau tanah Karbala yang dibawa oleh mereka ketika solat. Mereka juga menganggap wujudnya keberkatan daripada batu tersebut dengan menciumnya ataupun memakannya sebagai penawar menyembuhkan penyakit. Batu tersebut adalah cebisan tanah yang diambil daripada perkuburan Saidina Husain di Karbala.
(Amalan ini adalah amalan kurafat yang boleh merosakkan akidah umat Islam)
 
Kelima : Penganut fahaman Syiah meninggalkan Solat Jumaat dengan alasan Solat Jumaat hanya wajib ketika wujud atau hadirnya Imam al-Mahdi. Namun, ketika ketiadaan Imam al-Mahdi, mereka boleh memilih sama ada melaksanakan Solat Jumaat atau melaksanakan solat Zohor. Umumnya, penganut Syiah meninggalkan solat Jumaat.
(Berdosa besar meninggalkan solat Jumaat kerana solat Jumaat telah difardukan oleh Allah SWT di dalam al-Quran)
 
Keenam : Penganut fahaman Syiah mengamalkan jamak solat fardu iaitu Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak sama ada di dalam musafir atau tidak tanpa sebarang sebab. Walaupun ulama Syiah menfatwakan sunat hukumnya solat pada waktu-waktunya. Namun, dari sudut pengamalan mereka lebih mengamalkan jamak di antara dua solat, Zohor dan Asar dan Maghrib dan Isyak. Perkara ini boleh dilihat diseluruh tempat-tempat solat yang diurus oleh penganut-penganut Syiah.
(Umat Islam daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak menjamakkan solat fardu melainkan dalam musafir atau ada perkara penting yang diharuskan jamak dua solat fardu)
Sahabat yang dimuliakan,
Penyelewengan kepercayaan dan pengamalan Syiah yang berbeza daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah jelas. Syiah menafikan dan menolak al-Quran yang ada di tangan kita pada hari ini. Syiah menolak hadis-hadis atau riwayat-riwayat para sahabat besar Rasulullah SAW seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan lain-lain. Penganut  fahaman Syiah mengamalkan amalan-amalan yang telah difatwakan bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar oleh para ulama dan institusi-institusi Islam.
Hadis daripada Irbid bin Sariah r.a bahawa Rasulullah SAW  bersabda (maksudnya) :
“Sesungguhnya aku telah tingggalkan bagimu agama yang jelas nyata dari sebarang kesamaran. Jelasnya diibaratkan gelap malam gelita seperti siang harinya. Sesiapa pun tidak akan tergelincir darinya selepasku melainkan mereka yang ditakdirkan binasa. Sesiapa yang hidup selepas itu akan melihat kekeliruan yang banyak sekali. Maka hendaklah kamu berpegang dengan apa yang telah kamu ketahui dari sunnahku dan sunnah khulafa’ rashidin yang terpimpin. Peganglah kepercayaan itu dengan teguh”.          (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Hadis di atas menjelaskan bahawa Khulafa al-Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali adalah para pemimpin yang terpimpin dengan tunjuk ajar daripada Nabi Muhammad SAW. Begitu juga sekalian para sahabat, mereka adalah umat terbaik selepas kewafatan Baginda SAW. Justeru, kita sebagai muslim mestilah berhati-hati dengan kepercayaan, pegangan dan ideologi yang jelas menyalahi serta menyeleweng daripada perkara asas dalam ajaran Islam, apatah lagi yang telah diwartakan sesat, menyeleweng dan seumpamanya. Dalam menghadapi kemelut kepercayaan, para ulama adalah mereka yang berkelayakan untuk kita rujuk. Sesungguhnya Islam adalah agama yang jelas kebenarannya dan jelas juga batas-batas kekufurannya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 59 maksudnya :
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Sekiranya kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”.
Dalam surah An Nuur, Allah membantah orang-orang yang menuduh Aisyah –isteri Rasulullah SAW yang mulia dengan tuduhan keji iaitu berzina. Hal ini menunjukkan orang-orang Syiah sangat benci terhadap Aisyah –puteri Abu Bakr- bahkan sebagian ulama mereka sampai mengkafirkan Aisyah dan menyatakan Aisyah itu di neraka. Na’udzu billahi min dzalik. Semoga Allah melindungi kita dan keluarga kita dari kesesatan ajaran Syiah.

Sahabat yang dikasihi,
Berhati-hatilah dengan golongan Syiah ini kerana mereka bukan sahaja terdapat di Iran dan Iraq tetapi golongan ini telah bertapak di nusantara (Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei). Mereka cukup fanatik dengan ajaran Syiah. Mereka cuba menyerap masuk dan mensyiahkan para pelajar IPT dan pendakwah Islam.  Yang menjadi tanda tanya ada sebahagian 'ustaz' kita boleh terpengaruh dengan ajaran Syiah. Kerajaan Iran mempunyai dana yang besar dan cuma menyebarkan fahaman Syiah ke seluruh dunia dan cuba menyesatkan umat Islam di negara kita . Perlu diingat golongan Syiah ini akan memusuhi Ahli Sunnah Wal Jamaah apabila berpeluang memeranginya contoh yang terdekat bagaimana tentera Iran Syiah dan pejuang Hasbullah Syiah telah menbantu rejim Basyar Assad laknatullah telah membunuh saudara-saudara kita di Syria tanpa belas kasihan. Umat Islam jangan berbangga dengan kerajaan Iran dan Hasbullah kononnya mereka anti-Israel, hakikat sebenarnya mereka adalah musuh dalam selimut dan bersekongkol dengan Israel dan Amerika untuk memerangi umat Islam.